KUALA LUMPUR, 15 Jun – Institut Kecemerlangan Nano Elektronik Universiti Malaysia Perlis (INEE UniMAP) yang ditubuhkan pada tahun 2008 hari ini diiktiraf sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan Nano Malaysia oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkily dalam ucapannya berharap kelima-lima Pusat Kecemerlangan yang dipilih ini akan terus menyumbang kepada pembangunan penyelidikan dalam bidang Nano Teknologi.
Ujar beliau, di peringkat awal sebanyak 17 Pusat Penyelidikan Nano Teknologi telah disenarai pendek tetapi buat masa sekarang, hanya 5 yang terpilih sebagai Pusat Kecemerlangan atas kecemerlangan penemuan dan penyelidikan dalam bidang Nano Teknologi.
“Pemilihan kelima-lima Pusat Kecemerlangan ini dibuat oleh satu panel khas dan harus saya akui proses pemilihan adalah sangat sukar memandangkan kesemua 17 pusat penyelidikan Nano Teknologi di Malaysia mempamerkan prestasi yang sangat membanggakan.
“Selepas beberapa tapisan, kita bersetuju dengan pemilihan lima Pusat Kecemerlangan ini (buat masa sekarang) dan tidak menolak kemungkinan akan ada penambahan di masa akan datang. Kesemua lima Pusat Kecemerlangan ini akan memfokuskan kepada bidang kepakaran masing-masing dengan pemantauan berterusan daripada Kementerian dan juga Direktorat Nano Teknologi Kebangsaan (NND),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Nano Malaysia Summit And Expo 2011 serta Penyampaian Pengiktirafan Pusat Kecemerlangan Nano Malaysia di PWTC di sini hari ini. Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Brig. Jen. Dato Profesor Dr. Kamarudin Hussin dan Pengarah INEE, Prof. Dr. Uda Hashim.
Selain INEE UniMAP, turut terpilih sebagai Pusat Kecemerlangan Nano Malaysia ialah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia dan SIRIM Malaysia Bhd.
Dr. Maximus seterusnya berkata, pihaknya juga akan menjadi perantara dalam mewujudkan kolaborasi pintar antara kelima-lima Pusat Kecemerlangan ini dengan agensi swasta dalam usaha pengkomersialan produk Nano Teknologi.
Beliau bagaimanapun berkata, setiap Pusat Kecemerlangan ini telah memiliki Unit Pengkomersialan masing-masing tetapi, Kementerian dan NND akan membuka lebih banyak peluang terutama di peringkat antarabangsa selain turut membimbing kesemua Pusat Kecemerlangan ini dalam bidang pembangunan tenaga kerja dan kepakaran serta koordinasi program.
Ditanya mengenai dana yang bakal diberikan kepada Pusat Kecemerlangan yang dipilih ini beliau berkata:
“Buat masa sekarang, jumlah dana tidak akan dimaklumkan, tetapi saya memberi jaminan bahawa kelima-lima Pusat Kecemerlangan ini akan diberi keutamaan dalam pemberian dana.”