Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha membanteras nyamuk aedes untuk membendung wabak denggi yang mangsanya terus meningkat saban tahun.
Dengan kerjasama penyelidik tempatan, pelbagai inovasi dihasilkan untuk memerangi aedes.
Pengarah Institut Kejuruteraan Nano Elektronik, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Profesor Dr. Uda Hashim bersama M. Kamarul Zaman M. Zaiedi turut tampil dengan rekaan Sistem Pengesanan Nyamuk Aedes menggunakan penderia khas.
Jelas M. Kamarul, idea penghasilan inovasi tersebut adalah untuk membasmi kehadiran nyamuk aedes dengan lebih pantas dan menyeluruh.
“Rekaan ini menggunakan sistem berasaskan gelombang akustik dengan sensitiviti tinggi untuk mengesan kehadiran nyamuk aedes betina di persekitaran kita.
“Mengapa mesti nyamuk betina? Kerana nyamuk tersebut yang bertelur dan membiakkan lebih banyak nyamuk aedes di persekitaran,” katanya.
Tambah M. Kamarul, kedengaran seperti mustahil untuk mengesan jantina nyamuk, namun penderia yang dihasilkannya dapat melaksanakan tugas tersebut berdasarkan berapa prinsip asas.
“Untuk membezakan jantina nyamuk aedes adalah mudah dengan melihat secara fizikal, iaitu saiz nyamuk betina lebih besar berbanding nyamuk jantan.
“Oleh itu, kadar pergerakan turun naik dan getaran sayapnya juga berbeza dan lebih perlahan berbanding nyamuk jantan.
“Pergerakan dan gelombang getaran sayap tersebut dijadikan sebagai kayu pengukur untuk menentukan jantina nyamuk,” katanya.
Jelasnya, kadar pergerakan sayap nyamuk betina adalah sekitar 350 hingga 420 Hz (hertz) berbanding nyamuk jantan yang lebih pantas sekitar 800 Hz.
Antara teknologi yang digunakan untuk mengesan gelombang bunyi tersebut adalah gabungan penggunaan teknologi nano dalam kejuruteraan elektronik.
“Peranti akustik yang dihasilkan ini adalah mudah alih, praktikal dan mampu dimiliki oleh orang ramai.
“Sistem ini amat peka kepada bunyi sayap nyamuk aedes betina dan akan digabungkan bersama sistem kawalan tanpa wayar menerusi kemudahan Wi-Fi.
“Semua maklumat dah isyarat kehadiran nyamuk betina tersebut akan dirakam dan dihantar ke pusat pengumpulan data utama sama ada di dalam rumah itu sendiri atau di pusat-pusat kawalan nyamuk atau vektor yang berdekatan,” ujarnya.
Menerusi kaedah tersebut, pihak yang berwajib tidak lagi perlu melakukan pemeriksaan secara berkala dan waktu-waktu tertentu sahaja kerana pemantauan dapat dilakukan secara 24 jam seminggu.
Nyamuk aedes boleh membiak dan menggemari takungan air jernih dan memerlukan hanya satu minggu untuk menjadi nyamuk dewasa.
Oleh itu, sistem tersebut menggunakan konsep yang sama iaitu sebuah bekas yang diisi air untuk menarik perhatian nyamuk serta memerangkapnya.
Kehadiran nyamuk betina di dalam bekas berair dan sekelilingnya dapat dikesan menerusi pancaran laser pada sistem peranti yang diletakkan pada bekas tersebut.
Seterusnya maklumat dihantar ke sistem komputer ringkas untuk menganalisis gelombang bunyi atau getaran sayap yang dihasilkannya ketika terbang.
Maklumat analisis tersebut dapat menentukan bilangan dan jenis serangga yang mendekati bekas air tersebut samada nyamuk mahupun spesies lainnya.
Data yang diperoleh boleh disimpan dalam komputer sistem itu atau dihantar terus kepada pengguna atau pemilik rumah menerusi e-mel serta khidmat pesanan ringkas (sms) menerusi telefon bimbit.
Selain itu, data tersebut juga boleh dihantar terus ke agensi yang terlibat dalam proses pemantauan dan menerusinya aktiviti tersebut boleh dilakukan sepanjang masa.
Namun, kelebihan sebenar sistem itu adalah intergrasi sistem elektronik bersama kemudahan Wi-Fi yang semakin berkembang masa kini.
Sistem tersebut boleh menempatkan seberapa banyak penderia di sekeliling rumah mahupun kawasan perumahan dan hanya perlu menaiktaraf kadar atau kelajuan Wi-Fi sahaja bagi menampung data yang disampaikan.
Aliran trafik Wi-Fi yang stabil juga memudahkan sistem tersebut berfungsi dengan lebih tepat dan pantas.
Dalam pada itu, jelas Dr. Uda, memandang penyakit semakin bertambah terutamanya di kawasan bandar mahupun kawasan separa bandar, satu langkah telah diambil oleh Cawangan Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan dengan mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk aedes.
Progam tersebut katanya dilaksanakan mengikut kawasan utama sebagai langkah mencegah dan mengawal di samping mengadakan pelbagai aktiviti dan tindakan perancangan melalui media massa dan elektronik.
“Bagaimanapun bersama kehadiran sistem ini program tersebut dapat dipermudahkan malah lebih tepat dan pantas.
“Maklumat pantas yang diterima memudahkan pihak kementerian memusatkan kawalan pencegahan dan pemeriksaan pada kawasan tertentu (hot spot) dan mereka tidak lagi perlu membazirkan tenaga dan masa untuk tujuan tersebut,” katanya.
Sistem itu juga dapat membantu kementerian yang tentunya tidak mampu untuk pergi dari sebuah rumah ke sebuah rumah dalam proses pemantauannya.
“Sistem ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan kita mengharapkan peranti akustik yang dibangunkan ini dapat membantu mengurangkan masalah denggi yang semakin meningkat,” ujarnya.
Selain itu, sistem tersebut boleh dinaik taraf dan diintegrasi bersama peranti pencegahan lain. Contohnya, data daripada penderia yang mengesan nyamuk betina tersebut boleh diintegrasi bersama peranti seperti alat penyembur racun serangga dan sebagainya.
Jelas M. Kamarul, peranti tambahan sedemikian boleh ditambah kemudian bagi memastikan pencegahan dapat dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Sebagai contoh, kita boleh letakkan alat penyembur racun serangga (aerosol) bersebelahan atau di atas bekas perangkap nyamuk tersebut.
“Apabila peranti utama dapat mengesan kehadiran nyamuk betina sistem tersebut akan mengaktifkan alat penyembur racun untuk membunuhnya,” katanya.
Kajian yang dijalankan hanya mengambil masa enam bulan tersebut bakal dikomersialkan seawal tahun hadapan jika terdapat pihak yang berminat.
Bagi yang berminat boleh menghubungi penyelidik tersebut di talian 04-9798580, layari laman web https://inee.unimap.edu.my atau e-melkan sebarang pertanyaan ke uda@unimap.edu.my.
Info Sistem Pengesan Nyamuk Aedes:
- Pengesanan berdasarkan pengesanan akustik.
- Sangat sensitif.
- Pengesanan sebarang objek/serangga halus yang berterbangan.
- Peranti pengesana jarak jauh.
- Sistem automatik sepenuhnya.
Kelebihan:
- Pengesanan yang ringkas.
- Jaringan penderia wayarles.
- Pusat data berdasarkan web.
- Pengunaan tenaga elektrik yang rendah.
- Sumber perisian terbuka (open source).
Sumber: Utusan Online